header

  • Utama
  • Info NHRAP
  • Pengenalan

Pengenalan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP)

  1. Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan atau National Human Rights Action Plan (NHRAP) melambangkan satu usaha jangka panjang oleh Kerajaan untuk memastikan pemeliharaan hak-hak asasi manusia, meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan hak-hak tersebut dan mewujudkan mekanisme penyelarasan secara bersepadu terhadap tindakan dan usaha mempromosikannya.

  2. Pelan ini menekankan mengenai tanggungjawab negara serta objektif jangka panjang Kerajaan dalam memelihara hak asasi manusia termasuklah tindakan yang perlu diambil oleh pelbagai pihak yang terlibat. Selain dari itu, Pelan ini turut menyenaraikan isu-isu yang menjadi keutamaan dan membincangkan mekanisme berkaitan perkara-perkara seperti strategi penyampaian maklumat, pelaksanaan serta kaedah penilaian terhadap Pelan yang telah dibangunkan.

  3. Secara tidak langsung NHRAP boleh dijadikan platform untuk memperkasakan sistem pentadbiran awam negara. Dengan mempromosi hak asasi manusia dalam bidang-bidang seperti pendidikan, kesihatan, perumahan serta khidmat sosial, bukan sahaja kualiti hidup akan meningkat malah ini membantu memupuk perpaduan, keharmonian dan toleransi di kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama, dan budaya. Penggunaan Pelan ini juga tidak terbatas kepada Kerajaan malah ia boleh dijadikan bahan rujukan oleh pelbagai sektor dalam masyarakat mengenai dasar dan komitmen Kerajaan berkaitan perlindungan hak asasi manusia di negara ini. Ia boleh menjadi asas serta panduan dalam perbincangan mengenai hala tuju berkenaan hak asasi manusia dalam pelbagai konteks malah sesuai untuk edaran di peringkat antarabangsa.

  4. Secara ringkas, Pelan ini menggambarkan komitmen Malaysia terhadap obligasi hak asasi manusia antarabangsa dengan menggariskan pelaksanaan tanggungjawab merealisasikan hak-hak tersebut melalui suatu strategi kebangsaan yang berasaskan tindakan (action oriented). Walau bagaimanapun, Pelan yang dibangunkan ini perlulah dipastikan realistik dan praktikal mengikut kesesuaian dan keperluan di Malaysia.